“Bilakah masa yang paling sesuai untuk bercerai susu?”

“Apa yang perlu dilakukan kalau anak tak mahu?”

“Bagaimana kalau payudara saya bengkak selepas bercerai susu?”

Jika anda sedang menyusukan bayi, pasti soalan ini pernah berlegar-legar dalam kepala. Cerai susu adalah proses berperingkat untuk menggantikan sumber makanan bayi daripada susu badan kepada makanan yang lain.

Apabila si kecil sudah menjadi kanak-kanak, susu badan bukanlah sumber nutrien utama lagi. Mereka perlu makan daripada pelbagai sumber untuk terus membesar.

 

Bilakah masa yang sesuai untuk menceraikan susu?

Menurut Akademi Pediatrik Amerika, 6 bulan pertama umur bayi merupakan tempoh yang terbaik untuk penyusuan ekslusif yang mana bayi tidak akan menerima makanan selain susu badan.

Selepas 6 bulan, anda disarankan untuk memberi makanan pepejal serta susu badan sehingga sekurang-kurangnya 1 tahun. Selepas umur setahun, ia terpulang kepada anda dan si kecil sampai bila hendak menyusukan badan.

Ikut sahaja rentak si kecil

Cara yang paling mudah untuk menceraikan susu ialah dengan mengikut sahaja rentak anak anda. Biarkan mereka sendiri menentukan bila hendak berhenti menyusukan badan. Corak penyusuan biasanya akan berubah apabila makanan pepejal diperkenalkan semasa 6 bulan.

Kanak-kanak akan lebih berminat dengan makanan lain selain susu badan apabila berumur lebih kurang 1 tahun. Lambat laun pasti mereka akan bosan untuk menyusu badan. Tetapi ada juga anak yang susah melepaskan susu badan.

Anda juga boleh menentukan sendiri bila hendak menceraikan susu dengan anak anda. Terutamanya apabila anda sudah mula bekerja. Walaupun sebenarnya ia sedikit sukar berbanding mengikut rentak si kecil namun ia tidak mustahil jika dilakukan secara lembut dan berhati-hati.

lambat laun anak pasti akan bercerai susu

Langkah memulakan penceraian susu

1. Jangan lakukan secara mengejut

Jika penyusuan badan dihentikan secara mengejut, bayi pasti akan rasa tertekan dan payudara akan lebih mudah bengkak kerana susu badan berkumpul.

Sebaliknya, kurangkan tempoh dan kekerapan menyusu si kecil secara berperingkat selama beberapa minggu atau bulan.

Langkah ini akan membolehkan susu badan berkurang sedikit demi sedikit dan akan mengelakkan bengkak. Jika payudara bengkak, letakkan pek sejuk untuk mengurangkan rasa sakit dan bengkak.

2. Hentikan waktu menyusu yang sesuai dahulu

Anak kebiasaannya paling suka menyusu sebelum tidur dan bangun daripada tidur. Pada waktu tersebut, mereka sangat memerlukan keselesaan dan ketenangan melalui menyusu (comfort nursing).

Oleh sebab itu, jangan hentikan dahulu waktu menyusu tersebut. Mulakan penceraian susu dengan menghentikan waktu menyusu tengahari atau petang. Apabila anda sudah berjaya hentikan satu sesi menyusu, barulah perlahan-lahan hentikan sesi menyusu yang lain pula.

Sesi menyusu selepas makan adalah waktu yang paling mudah untuk dihentikan. Beri makan dahulu si kecil barulah menyusu. Pada waktu ini anak pasti aktif bermain dan mudah lupa untuk menyusu. Mereka juga sudah kenyang makan.

3. Lengah-lengahkan dan alih perhatian

Cara ini mudah dilakukan kepada anak yang berumur 1 tahun ke atas. Jangan berikan mereka susu badan selagi mereka tidak meminta. Jika mereka ingin menyusu, anda boleh lengah-lengahkan mereka dengan melakukan aktiviti lain seperti bermain.

Anda juga boleh membiasakan anak anda minum susu melalui cawan atau botol susu pada waktu siang dan menyusu badan pada waktu malam. Ini bagi mengurangkan kebergantungan untuk menyusu dengan anda.

Apa yang perlu dilakukan jika si kecil tetap berkeras mahu menyusu?

Menolak bulat-bulat permintaan si kecil untuk menyusu bukanlah satu idea yang baik. Mereka akan lebih mudah memberontak dan akan menumpukan lagi perhatian kepada menyusu selagi mereka tidak mendapatnya. Sebaiknya, susukan sahaja mereka jika itu yang diinginkan.

Setiap anak mengambil masa yang berbeza untuk bercerai susu. Ada yang mengambil masa beberapa hari sahaja, ada juga yang berminggu dan berbulan. Ingat, tergesa-gesa bercerai susu hanya akan membuatkan anak anda memberontak dan payudara juga mudah bengkak kerana air susu berkumpul.

Menyusu badan adalah satu hubungan erat antara ibu dan anak. Oleh sebab itulah bercerai susu bukan sesuatu yang mudah bagi anak anda. Lakukanlah secara lembut dan berperingkat jika anda inginkan peralihan susu badan kepada botol susu atau cawan minuman menjadi lebih mudah. Insya Allah!

Sumber: babycenter.com, mayoclinic.org
Sumber gambar: thegoodmommy.com, mamamia.com.aubabycenter.com, babytoddlerguide.com

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *